Friday 23 February 2018

Taiping Bandar Warisan




Assalammualaikum warga pembaca sekalian. Selamat bercuti kepada anda semua😁. Pada hari ini saya ingin menunjukkan tempat-tempat yang menarik yang dapat anda kunjungi ketika berada di Taiping iaitu tempat kelahiran saya yang dikenali sebagai 'Taiping Bandar Warisan".

Okey pertama sekali saya nak ceritakan tentang asal usul nama bandar Taiping. Taiping bermaksud "AMAN" atau "DAMAI" dalam Bahasa Mandarin. Wujudnya nama Taiping adalah disebabkan tercetusnya dari pertelingkahan puak-puak pendatang dari Negara China yang melakukan aktiviti perlombongan bijih timah di daerah Larut iaitu Ghee Hin dan Hai San yang begitu raai di Kelian Pauh ketika itu. Persatuan kongsi gelap dari dua puak ini telah bertelingkah kerana lombong bijih timah dan jalan air. Setelah mendapat kata sepakat untuk berdamai, TAIPING telah dipilih untuk menjadi nama baru bagi bandar di daerah Larut ini. Taiping merupakan pusat bandar bagi Daerah Larut, Matang, dan Selama. Sebelum 1937, Taiping merupakan ibu negeri Perak. Nama lama Taiping ialah Klian Pauh. Klian bermaksud lombong dan Pauh pula ialah sejenis buah manga yang bersaiz kecil.

Bandar ini terkenal dengan gelaran bandar orang pencen. Ini kerana ramai penduduk disini adalah pesara tak kira la sama ada kerajaan, swasta ataupun yang bekerja sendiri. Mungkin kerana keadaan bandar Taiping yang tenang dengan kehijauan landskapnya serta suasana yang sejuk dan segar yang menjadikannya bandar yang sesuai untuk didiami. Bandar Taiping juga merupakan kawasan tadahan air hujan kerana sering hujan dan yang paling banyak dituruni air hujan di Malaysia.



Taman Tasik Taiping yang merupakan kawasan perlombongan bijih timah


Jika anda ingin bersiar-siar sekitar bandar Taiping, anda boleh menyewa basikal ataupun beca yang telah disediakan. Sewa basikal hanya berharga RM20 untuk deposit dan harga sewanya mengikut jenis basikal dan berapa lama menggunakannya.



Saya di kawasan sewa basikal dan beca
Tempat sewa ini terletak berdekatan dengan MCD Taiping. Jadi tidak sukar untuk anda mencarinya.





 Sekiranya anda datang ke Taiping tidak lengkap rasanya jika tidak berkunjung ke Bukit Larut. Bukit larut merupakan kawasan yang amat cantik dan kaya dengan alam semula jadinya. Dahulu Bukit Larut dikenali sebagai Bukit Maxwell yang kaya dengan kehijauan tumbuhan semula jadi, menjadi latar belakang yang mengagumkan kepada Bandar Taiping seawal tahun 1884. Pihak Inggeris telah menubuhkan tempat percutian di puncak tanah tinggi ini yang dikelilingi hutan tropika semula jadi bagi pegawai-pegawai mereka. Kebanyakan banglo masih dikekalkan sehingga hari ini. Ketinggian Bukit Larut adalah 1035 m atas paras laut. Bukit Larut merupakan resort tanah tinggi tertua dan terkecil di Malaysia. Pada masa dahulu wanita diusung menaiki kerusi- sedan kerana tiada laluan untuk kenderaan. Pihak Inggeris telah memperkenalkan penanaman teh pada ketinggian 650 m atas paras laut yang kemudiannya terbengkalai. Kini Bukit Larut masih kekal sebagai resort bukit.



Hotel yang dibina oleh orang Inggeris pada zaman dahulu yang masih digunakan sehingga kini




Saya berada di hadapan Rumah ' Assistant Resident' yang berusia 133 tahun

Seterusnya, kawasan yang bersejarah ini agak terpencil dari kawasan bandar kerana terletak di atas bukit Birch yang dikelilingi hutan. Kawasan ini menjadi tumpuan kepada warga emas untuk berjogging kerana kawasannya yang nyaman dan trek joggingnya yang singkat. Kawasan ini mempunyai sebuah banglo lama yang merupakan rumah 'Assistant Resident' pada suatu masa dahulu dan kini telah menjadi kediaman pegawai daerah Larut Matang dan Selama.





Pintu pagar depan Rumah 'Assistant Resident'



Seterusnya, tempat menarik yang terdapat di Taiping adalah Zoo Taiping & Night Safari.  Zoo Taiping & Night Safari merupakan sebuah organisasi berdaya maju yang menitikberatkan kebajikan haiwan serta memastikan kepuasan hati pengunjung. Zoo Taiping & Night Safari dibangunkan dalam kawasan seluas 36 ekar (14 hektar)  dan memiliki kira-kira 1300 ekor haiwan dari 140 spesis mamalia, burung, reptilia  dan ikan. Bayaran masuk ke Zoo Taiping dengan harga RM 16 untuk dewasa dan RM 8 untuk kanak-kanak. Manakala untuk Night Safari bayaran masuk untuk dewasa adalah RM 20 dan untuk kanak-kanak RM 10. Zoo Taiping & Night Safari memberikan diskaun kepada warga Taiping dan Kerian, pelawat yang berumur 20 tahun dan ke atas, rombongan sekolah, agensi pelancongan @ kerajaan dengan surat rasmi serta warga emas (60 tahun ke atas). Zoo Taiping dibuka setiap hari dan cuti Am (8.30 pagi-6.00 petang). Night Safari dibuka setiap malam dan cuti Am (8.00malam-12.00 malam). 

Kompleks Penjara Taiping 
Penjara Taiping telah dibina pada tahun 1879 semasa zaman pentadbiran Sir Hugh Low yang merupakan resident British yang ketiga di Negeri Perak. Pada tahun 1879 hingga  ke tahun 1960 pentadbiran Penjara Taiping berada di bawah pengurusan pegawai Inggeris. Kompleks Penjara Taiping yang ditubuhkan pada tahun 1879 inj adalah merupakan kompleks penjara yang pertama dan tertua di Malaysia. 

Semasa penubuhannya, inilah penjara yang paling besar di Malaysia. Penjara Taiping telah dibina di atas tanah bentang dengan seluas 5.159 hektar. Segala pembinaan adalah dengan menggunakan tenaga buruh secara paksaan yang terdiri daripada tahanan perang atau banduan yang dibawa masuk dari India dan Afrika. Bahan-bahan binaan untuk mendirikan penjara pertama di Malaysia ini diimport dari England melalui Syarikat Hindia Timur Inggeris. 





Muzium Taiping dibina pada tahun 1883 dan merupakan muzium pertama di Malaysia. Bangunan muzium ini mempunyai keunikan dari segi seni bina yang mempunyai pengaruh bangunan masyarakat "moor" di India yang digabungkan dengan seni bina "neo-classical " dan "victorian" masyarakat Eropah. Ia direka bentuk oleh arkitek berbangsa Inggeris dari England. Idea penubuhan Muzium Perak dicetuskan oleh Sir Hugh Low, Residen British ketiga di
 Negeri Perak ketika itu. Beliau merasakan perlunya ditubuhkan sebuah muzium di Tanah Melayu untuk dijadikan sebagai sebuah pusat penyelidikan dan pengumpulan bahan sejarah, budaya dan alam semula jadi Negara. Beliau telah melantik Leonard Wray Jr. iaitu seorang ahli botani dan geologi untuk mengumpulkan spesimen-spesimen alam semula jadi dan etnologi sebagai koleksi awal Muzium Perak. Bahan bersejarah di dalam Muzium Perak ini berusia lebih dari seratus tahun. Harga masuk Muzium Perak adalah sangat berpatutan. 

Kenapa anda perlu datang ke Taiping kerana Taiping merupakan tempat kelahiran saya hehehe😛tapi  itu bukan point utamanya 😂, point utamanya adalah kawasan Taiping akan memberikan anda kedamaian dan menjanjikan anda pengalaman yang menarik yang anda tidak dapat lupakan. 





Sekian itu info yang dapat saya berikan tentang tempat menarik di Taiping. Semoga anda  bergembira ketika berada di Taiping. 

No comments:

Post a Comment

Kolej Matrikulasi Pulau Pinang

Kolej Matrikulasi Pulau Pinang  Assalammualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca. Alhamdullilah pada hari ini saya ingin me...