Assalammualaikum kepada semua pembaca blog sekalian. Hari ini saya ingin memberikan sedikit motivasi kepada anda yang mungkin baru sahaja mendapat keputusan UPSR, PT3, SPM, PSPM, dan sebagainya. Sebelum itu, saya mengucapkan Tahniah kepada yang mendapat keputusan yang cemerlang👏 dan kepada yang kurang mendapat keputusan yang baik, jangan kecewa dan putus asa, anda masih ada banyak peluang untuk membaiki usaha anda untuk mendapatkan yang lebih baik pada peperiksaan yang seterusnya.👍
Adakah anda tahu apakah itu redha? Adakah anda Redha dengan keputusan yang anda dapat? Mari kita teruskan membaca untuk mengetahui sama ada kita redha atau tidak.
Redha menurut Ibn Rajab AlHanbali, Redha ialah suatu perasaan yang berlawanan dengan hawa nafsu. Contohnya, anda ingin mendapatkan keputusan straight A's dalam setiap peperiksaan, namun anda telah gagal untuk memperolehinya dan anda mampu untuk menerima kenyataan walaupun mendapat keputusan yang sebaliknya.
Redha menurut Prof Hasbi asSiddiqi adalah redha akan Qada(kehendak)
dan Qadar(keputusan takdir) Allah dengan tabah dan lapang dada.
Percaya kepada Qada dan Qadar Allah adalah Rukun Iman yang keenam yang wajib kita sebagai orang Islam percaya. Allah merancang segala yang terjadi kepada diri kita sejak azali. Dia yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Jika kita tidak dapat keputusan yang baik jangan kita salahkan takdir tapi salahkan diri sendiri yang kurang usaha untuk menuntut ilmu. Baiklah mungkin anda telah berusaha tapi masih tidak mendapat kejayaan yang anda mahukan. Anda perlu muhasabah diri, mungkin anda ada melakukan sesuatu yang membuatkan anda sukar untuk mendapatkan kejayaan.
Antara sebab anda tidak mendapat kejayaan:
- Tidak mendapat keredhaan daripada orang tua. Ibu bapa tidak redha dengan anda kerana anda telah menyakiti hati mereka tanpa anda sedar.
- Tidak menghormati guru yang mengajar. Guru yang mengajar anda mungkin seorang guru, pensyarah, rakan anda dan sebagainya.
- Kurang rasa syukur dengan apa yang dapat. Contohnya anda mendapat markah kurang sedikit dari rakan anda dan anda menginginkan lebih dari dia.
- Melengah-lengahkan solat atau jarang-jarang solat. Anda ingin mendapatkan kejayaan tetapi anda sendiri yang tidak berusaha untuk meminta pada Yang Maha Kuasa. Ini menunjukkan yang anda sombong terhadap Tuhan yang menciptakan anda.
- Kedekut ilmu dengan orang lain. Mungkin anda mempunyai rakan yang kurang bijak dalam sesuatu subjek dan meminta anda untuk membantunya dengan mengajarnya subjek tersebut.Tetapi disebabkan anda merasakan bahawa anda tidak mempunyai masa unruk mengajarnya, anda mengambil langkah untuk tidak mempedulikannya.
Ibubapa adalah insan yang seharusnya kita kasihi dan sayangi. Sejauh manapun anda menuntut ilmu jika anda tidak mendapat redha mereka, sia-sia sahaja. Anda mestilah selalu menelefon mereka walaupun anda sibuk dengan tugasan-tugasan yang pensyarah atau guru berikan. Mungkin mereka tidak kisah jika anda tidak menelefon mereka dan bertanya khabar, tapi jauh disudut hati mereka mereka terluka. Kita sebagai anak mesti bijak untuk menbahagikan masa untuk ibubapa kita dan pelajaran. Takkanlah bersembang berjam-jam dengan kekasih boleh tapi telefon ibu untuk 5 minit tak boleh kan?😑
Menghormati guru adalah sukar bagi sesetengah pelajar yang bermasalah. Mungkin anda mempunyai guru yang gemar memalukan anda dan merendah-rendahkan anda dalam pelajaran atau apapun yang anda lakukan. Biarkan mereka melakukannya terhadap diri anda. Anda mengambil kata-kata yang mereka lontarkan sebagai satu motivasi terhadap diri anda untuk menjadi yang terbaik dan membuktikan kepada mereka bahawa kata-kata mereka terhadap anda adalah salah. Kita sebagai anak murid jangan pula kita melawan mereka(Guru) dengan kata-kata tapi dengan kejayaan yang kita akan dapat.
Mari kita lihat video dibawah ini dan renungkan..
Mari kita lihat video dibawah ini dan renungkan..
Syukur. Syukur terhadap sesuatu yang kita lakukan pada setiap hari adalah salah satu tanda terima kasih dan penghargaan kita terhadap diri sendiri. Kita mampu bangun pagi dan melakukan kerja harian kita dengan lancar adalah salah satu nikmat yang Allah telah berikan dan kita wajib bersyukur. Jika kita ditimpa sakit ketika peperiksaan dan sebagainya, kita tetap kena bersyukur kerana sakit adalah penghapus dosa-dosa kecil kita. Alhamdulillah Allah masih memberikan peluang kepada kita untuk menghapuskan dosa-dosa kita.
Solat adalah tiang agama, jika hilang satu tiang habis robohlah segala yang kita lakukan dalam kehidupan kita. Solat adalah salah satu cara kita untuk mendapatkan kejayaan di Dunia dan akhirat. Allah akan memberikan kejayaan kepada sesiapa sahaja yang dia kehendaki dan Allah akan memberikannya pada waktu yang tepat. Allah mendengar setiap doa hambaNya tidak kira bangsa mahupun keturunan. Kita sebagai hambaNya mestilah berusaha dengan meminta pertolongan dariNya dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memperolehi kejayaan. Kita diibaratkan seperti peminta sedekah yang berusaha menadah tangan dengan meminta duit daripada orang yang lalu dihadapan kita. Kita adalah hamba yang kerdil yang seharusnya meminta sesuatu hanya kepada Allah dan bukan mengharapkan manusia dan selain dariNya.
Jika anda seorang manusia yang mempunyai kepandaian dalam sesuatu perkara, janganlah anda kedekut ilmu dengan orang lain. Kongsikanlah ilmu yang anda ada agar ilmu yang anda kongsikan akan terus bertambah. Jika anda membantu dengan meringankan beban orang lain Allah akan melipat gandakan ilmu anda dan melancarkan anda untuk mendapat kejayaan. Jika rakan anda meminta pertolongan anda untuk mengajarkan mereka, janganlah anda menolak dan ajarkanlah mereka. Mereka akan mendoakan kejayaan anda tanpa anda sedari.
Jadilah manusia yang Redha kerana;
Orang yang HEBAT sentiasa CERIA walau hatinya terluka,
Orang yang HEBAT sentiasa MENYAPU AIR MATANYA dengan senyum ketawa,
Orang yang HEBAT selalu REDHA yang dugaan itu adalah tanda kasih sayang Allah.
No comments:
Post a Comment