Bismillahirrahmanirahim. Alhamdulilah kita masih diberi peluang untuk bernyawa di tahun baru. Pertama sekali saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada anda semua yang membaca blog ini. Setiap permulaan di Tahun Baru setiap orang mesti mempunyai azam yang tersendiri.Apakah azam anda pada tahun ini? Mungkin ada yang berazam untuk mengakhiri zaman bujang mereka pada tahun ini, ada yang berazam untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang, ada juga berazam untuk mendapatkan pekerjaan secepat mungkin dan lain-lain lagi. Walauapapun azam anda, anda mestilah menjayakannya sebelum berakhirnya tahun tersebut.
Azam yang kita ingin lakukan mestilah meningkatkan lagi kehidupan kita dan bukan memundurkan. Azam saya pada tahun ini adalah untuk menjadi insan yang lebih baik, berjaya dalam pelajaran, tidak mudah percaya pada janji manusia dan tidak mahu berharap pada sesiapa. Tahun yang lepas akan menjadi pengajaran dan penguat semangat untuk saya meneruskan kehidupan di Tahun Baru ini. Kepada anda yang mempunyai azam seperti saya, saya ingin memberikan beberapa tips untuk anda dalam menjayakan azam anda.
Jika anda ingin menjadi manusia yang lebih baik, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah muhasabah diri. Imbas kembali perkara-perkara yang baik dan buruk yang kita telah lakukan pada tahun lepas. Yang baik kita teruskan yang kurang kita jadikan sebagai pengajaran dalam hidup kita.Contohnya, pada tahun lepas kita kurang memberi tumpuan dalam kuliah atau sewaktu guru mengajar, jadi pada tahun ini kita mestilah lebih memberikan tumpuan dalam pelajaran untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan.
Seterusnya, jika anda pada tahun lepas banyak kali dikecewakan oleh manusia, pada tahun ini anda mestilah menguatkan hati untuk menghadapi manusia-manusia yang lebih mencabar hati anda dengan cara tidak mempedulikan kata-kata mereka yang tidak penting. Anda juga mestilah sentiasa ingat pada Tuhan dan dekatkan diri anda pada Tuhan kerana Allah sahaja yang lebih memahami hambaNya. Disaat anda kecewa dan bahagia ingat Allah jangan mengingati manusia yang akan datang dan pergi dalam hidup anda.
Selain itu, jika kita masih mempunyai Ibubapa, bahagiakanlah mereka sebelum mereka menutup mata. Mungkin pada tahun lepas anda kurang memberi perhatian kepada mereka kerana terlalu sibuk belajar atau bekerja, berazamlah pada tahun ini anda lebih mengutamakan mereka dalam setiap perkara. Redha kedua Ibu bapa adalah redha Allah. Jika Allah redha dengan setiap pekerjaan yang kita lakukan kehidupan kita jauh lebih baik dari sebelumnya.
Akhir sekali, jika anda berazam pada tahun ini untuk lebih banyak bersedekah, lakukanlah. Kerana sedekah adalah salah satu cara untuk kita membaiki hati kita supaya menjadi seorang manusia yang lebih baik dan mungkin sebahagian rezeki yang ada pada kita adalah rezeki milik orang lain. Allah akan berlipat gandakan rezeki yang kita ada dalam pelbagai bentuk. Seperti rasa kebahagiaan, ketenangan dan kelapangan dalam melakukan kerja seharian kita.
Akhir kata dari saya, walauapapun azam anda pada tahun ini lakukanlah sebaik mungkin agar tercapai. Saya mendoakan agar setiap pembaca blog ini akan mencapai keinginan azam anda dengan berjaya. Itu sahaja dari saya. Semoga anda sentiasa dalam perlindunganNya. Aminn..
No comments:
Post a Comment